BANTING – Sebanyak 32 rumah di Taman Langat Utama 2, Bukit Changgang di sini dilanda banjir awal pagi tadi selepas sebuah ban dipercayai pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.12 pagi.
Menurut beliau, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting digerakkan dan tiba di lokasi pada jam 4.35 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 19 kilometer.
“Hasil pemantauan mendapati kejadian banjir melibatkan kawasan perumahan di Jalan Pudina 7, Taman Langat Utama 2, Bukit Changgang dengan paras air dianggarkan antara satu hingga tiga kaki.
“Siasatan awal mendapati sebanyak 32 rumah terjejas dan kejadian dipercayai berpunca daripada ban yang pecah kira-kira 800 meter dari lokasi banjir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai enam anggota bomba diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nasarudin Sharudin telah dikerahkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux bagi menjalankan pemantauan serta tindakan keselamatan.
Ashrul Riezal berkata, pihak bomba menasihatkan penduduk terjejas supaya segera meninggalkan kediaman masing-masing dan berpindah ke kawasan lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga.
“Keutamaan ketika ini memastikan keselamatan penduduk serta memantau perkembangan keadaan air di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi pemantauan masih diteruskan bagi menilai tahap risiko dan membantu penduduk sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
“Penduduk di kawasan berisiko banjir diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















