Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh dan Zaid Malek.

KUALA LUMPUR – Peguam kepada ahli perniagaan, Albert Tei menuntut penjelasan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dekoder sistem televisyen litar tertutup (CCTV) milik keluarga anak guam mereka yang dijadual dipulangkan hari ini didakwa diserahkan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kurang 24 jam sebelum proses pengambilan dibuat.

Menurut Mahajoth Singh dan Zaid Malek, perkembangan itu menimbulkan persoalan serius memandangkan polis sebelum ini memaklumkan bahawa aduan berhubung tindakan pegawai SPRM ketika serbuan di kediaman Albert Tei telah diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).

Mereka berkata, pada 22 Jun lalu, pegawai penyiasat memaklumkan, dekoder berkenaan boleh diambil semula pada 25 Jun.

Bagaimanapun, sehari selepas Albert Tei mengumumkan secara terbuka hasrat untuk memainkan rakaman dalam dekoder itu di hadapan media, beliau dimaklumkan bahawa peranti tersebut telah dipulangkan semula kepada SPRM.

“Peristiwa yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu bukan sahaja mengelirukan, malah amat membimbangkan.

“Pihak polis mesti menjelaskan mengapa mereka tiba-tiba mengubah pendirian berhubung pemulangan dekoder tersebut,” kata mereka dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, dekoder berkenaan disita semasa serbuan SPRM di kediaman Albert Tei pada 28 November tahun lalu.

Pada hari sama, isteri Albert Tei membuat laporan polis berhubung tindakan beberapa pegawai SPRM ketika operasi tersebut, termasuk dakwaan bahawa senjata api diacukan kepada ahli keluarga mereka serta penyitaan peranti berkenaan.

Sejak laporan itu dibuat, Albert Tei dan keluarganya dilaporkan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Antara perkembangan siasatan yang direkodkan termasuk kehadiran Albert Tei ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada 29 November dan 24 Disember tahun lepas untuk memberi keterangan lanjut, selain rakaman kenyataan daripada ahli keluarga serta saksi lain pada 16 Disember.

Pada 15 Disember katanya, Ketua Polis Selangor turut mengesahkan secara terbuka bahawa siasatan telah dimulakan dan memberi jaminan bahawa kes itu akan disiasat secara profesional serta menyeluruh.

Menurut peguam berkenaan, SPRM menyerahkan dekoder tersebut kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang pada 5 Disember bagi tujuan siasatan, sebelum mengesahkan secara bertulis pada 22 April lalu bahawa agensi itu tidak lagi mempunyai milikan terhadap peranti tersebut.

Malah, pada 6 April, pihak polis memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dirujuk dan sedang dalam proses untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Bagaimanapun, peguam Albert Tei mempersoalkan tindakan memulangkan dekoder itu kepada SPRM sedangkan aduan yang dibuat adalah berkaitan tindakan pegawai agensi berkenaan semasa serbuan.

“Mengapakah harta milik anak guam kami, yang merupakan elemen penting dalam aduan itu, dipulangkan kepada agensi yang pegawainya sendiri menjadi subjek dakwaan salah laku tersebut?” soal mereka.

Menurut mereka lagi, jika kes itu benar-benar telah diklasifikasikan sebagai NFA, tiada justifikasi untuk terus menahan dekoder berkenaan dan Albert Tei berhak mendapatkan semula hartanya selepas lebih tujuh bulan disita.

Mereka turut menegaskan bahawa, tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan isu tersebut berisiko menimbulkan keraguan terhadap pentadbiran keadilan, khususnya dalam kes yang melibatkan dakwaan salah laku penguat kuasa.

“Anak guam kami berhak mendapat penjelasan dan berhak untuk mendapatkan semula hartanya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast