KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) bukan parti baharu dan tidak pernah ada masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), demikian menurut Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab spekulasi yang berlegar di media sosial berkaitan parti ini.
“Dulu Parti Cinta Malaysia (PCM), sekarang Parti Wawasan Negara. Kami masih mengikuti perlembagaan yang sama cuma sekarang ditukar nama.

“Nak ubah perlembagaan itu ambil masa lama dan kita tak akan ubah apa-apa, cuma nama sahaja seperti saya katakan ada perubahan.
“Jangan persoalkan, kami `cedok’ Perlembagaan orang lain,” katanya yang merupakan Presiden ketiga parti itu.
Katanya lagi, parti Wawasan seiring dengan kehendak rakyat yang mahukan pembaharuan dalam negara.
Terdahulu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu membantah keras tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa memaksa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN menerima kemasukan Wawasan sebagai parti komponen PN.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, ini kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan.
Susulan itu Ahmad Samsuri tampil membidas Ahmad Faizal dan meluahkan rasa kesal apabila perkara dalaman gabungan tersebut dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir.
Ahmad Samsuri berkata, PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka. – MalaysiaGazette
















