Naazron Abdul Yusof.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, petang semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Zon Merah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun 2026 kira-kira pukul 9.01 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila mangsa dikatakan terjatuh semasa sedang mandi di bilik air rumahnya sehingga mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarga ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HCTM bagi tujuan bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selain diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, polis menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keselamatan anak-anak sentiasa terjaga walau di mana mereka berada.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan menerusi talian NG MERS 999 atau menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast