KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar kini menggalas tugas baharu sebagai Pengurus Pasukan Kedah FA yang bersaing pada Liga A1 Semi-Pro untuk musim 2026-2027.
Pelantikan bekas Pengurus Pasukan KDA B itu diumumkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Radhi Mat Din melalui laman rasmi persatuan berkenaan.
Sebelum ini, skuad Hijau Kuning membuat persiapaan awal selepas memuktamadkan nama Ketua Jurulatih skuad Kedah FA, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Menurut Radhi, dengan kemasukan Baddrol ke dalam skuad Hijau Kuning itu diyakini mampu menjadi pendorong bagi meningkatkan daya saing pasukan pada musim baharu selepas meraih tangga ketiga, musim lalu.
“KFA percaya pelantikan ini bukan sahaja akan mengukuhkan struktur pasukan, malah dengan pengalaman yang ada pada Baddrol akan menjadi pemangkin pada pembentukan pasukan yang lebih berdisiplin dan mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Baddrol memasuki kancah politik pada tahun 2023 apabila memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun selepas beraksi pada tahun yang sama bersama pasukan Sabah FC sebagai kapten pasukan.
Pada 8 Jun lalu, Kedah FA turut menamakan bekas pemain Kedah yang juga pernah menjadi pengendali Penang FC dan Kelantan The Real Warriors, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA yang baharu menggantikan Victor Andrag.
Pengumuman jawatan Ketua Jurulatih Kedah FA itu dilakukan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Abdul Rahman Abdullah. – MalaysiaGazette
















