KUALA LUMPUR – Kerajaan setuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 RUU itu dirujuk sekali lagi ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) bagi diteliti semula terutama yang menyentuh seksyen-seksyen yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, menurut Peraturan Mesyuarat 62, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat untuk menangguhkan dulu RUU Penjara (Pindaan) 2026 itu.
“Kementerian bersetuju membawa RUU ini sekali lagi ke JPKP keselamatan dan JKPK hak asasi (manusia, pilihan raya dan reformasi institusi) untuk diteliti terlebih dahulu,” katanya pada sesi penggulungan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, RUU itu sudah pun dibentangkan kepada dua JPKP berkenaan pada 29 Oktober 2025 dan 16 Jun lalu.
Terdahulu, pada sesi penggulungan itu, beliau berkata, pindaan RUU itu memberi tumpuan kepada empat aspek utama, salah satunya bagi menangani isu kesesakan penjara melalui pendekatan pemulihan yang lebih dinamik.
Sementara itu, Dewan Rakyat memutuskan RUU itu akan dirujuk ke JPKP selepas diputuskan timbalan speakernya, Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas berakhir sesi penggulungan RUU berkenaan oleh Shamsul Anuar. – MalaysiaGazette
















