Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika ditemui wartawan selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 2026.

DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujud arahan daripada Kerajaan Persekutuan yang melarang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau mana-mana pemimpin lain memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau sebaliknya menegaskan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam melaksanakan projek serta program di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Arahan tak ada. Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan.

“Negeri, dia buat kerja negerilah. Apa nak riuh-riuh ini buat apa,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jameatus Solehah, di sini, hari ini.

Anwar mengulas dakwaan Onn Hafiz yang mendakwa beliau menerima arahan supaya tidak memasuki kawasan Felda dan tidak dibenarkan menghadiri beberapa program yang diadakan di tanah rancangan berkenaan.

Onn Hafiz turut mempersoalkan tindakan itu sambil menegaskan kehadirannya ke kawasan Felda adalah atas kapasiti sebagai Menteri Besar bagi menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi peneroka.

Beliau berkata, kawasan Felda bukan milik mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya merupakan penempatan rakyat yang perlu diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast