Foto IG Fabrizio Romano.

LONDON – Manchester City semakin hampir untuk mendapatkan pemain tengah England, Elliott Anderson menerusi perjanjian bernilai rekod kelab sebanyak £116 juta (sekitar RM630 juta) selepas mencapai persetujuan dengan Nottingham Forest

BBC melaporkan perpindahan itu bakal menjadikan Anderson, 23, sebagai pemain termahal dalam sejarah Man City, mengatasi rekod sebelum ini iaitu £100 juta yang dibayar bagi mendapatkan Jack Grealish pada tahun 2021.

Produk akademi Newcastle United itu menyertai Nottingham Forest pada tahun 2024 dengan nilai £35 juta.

Sejak itu, beliau telah membuat 92 penampilan, menjaringkan enam gol serta mencatatkan 11 bantuan gol bersama kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.

Prestasi konsisten beliau menarik minat City yang mahu memperkukuh barisan tengah menjelang musim baharu.

Kehadiran Anderson juga dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan Man City memasuki era baharu selepas pemergian pengendali berprofil tinggi, Pep Guardiola yang meninggalkan kelab itu selepas satu dekad penuh kejayaan.

City menamatkan musim lalu sebagai naib juara di belakang Arsenal dan dijangka melakukan rombakan skuad untuk kembali mencabar kejuaraan.

Jika perpindahan ini dimuktamadkan, ia bukan sahaja mengukuhkan status Anderson sebagai antara pemain muda paling bernilai di Eropah, malah mencerminkan kesediaan City untuk terus melabur besar dalam usaha mengekalkan dominasi mereka di pentas domestik dan Eropah.

Ketika ini, Anderson bersama skuad England di Piala Dunia dan telah diturunkan dalam dua perlawanan setakat ini, iaitu kemenangan 4-2 ke atas Croatia serta keputusan seri tanpa jaringan menentang Ghana.

England yang mengetuai Kumpulan L dijadualkan menentang Panama dalam aksi seterusnya di New Jersey esok. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast