KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri pada hari ini telah bersetuju dengan pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026.
HBH merupakan satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, melalui HBH, penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh ketua jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, bagi negeri-negeri yang mana Hari Kelepasan Mingguan (HKM) adalah hari Ahad, hari Isnin dan Jumaat sebagai kehadiran wajib ke pejabat.
Manakala negeri-negeri yang Hari Kelepasan Mingguan (HKM) adalah hari Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu), hari Ahad dan Khamis sebagai kehadiran wajib ke pejabat/
“Pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kerajaan kepada rakyat.
“Perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa. Ini termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPA berkata, inisiatif HBH ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui amalan kerja yang berorientasikan hasil dan memanfaatkan teknologi digital dengan sistem pemantauan yang akan memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.
Kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia,
Finland dan Sweden.
Pelaksanaan HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik
Asia Barat yang sedang berkuat kuasa, tambahnya.
Menurut JPA, Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















