Warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu JIM di Bandar Kinrara, Puchong, semalam. -Foto Jabatan Imigresen Malaysia

​KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggagalkan cubaan sekumpulan pendatang tanpa izin melarikan diri dalam satu operasi bersepadu menggunakan teknologi dron di Taman Kinrara di Puchong, Selangor semalam.

​JIM dalam kenyataan hari ini berkata, 32 warganegara asing dari Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan yang berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi itu.

Ia hasil pemeriksaan ke atas 18 premis perniagaan serta 117 individu dalam kawasan berkenaan.

“Penggunaan dron sebagai aset sokongan dalam operasi itu membantu pasukan di lapangan untuk memantau pergerakan dengan lebih tersusun, sekali gus berjaya menjejak laluan serta lokasi persembunyian warga asing terbabit,” katanya.

Operasi pada 12 tengah hari itu dilaksanakan 46 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM serta tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya yang menumpukan kepada pemeriksaan di sebuah kawasan perniagaan.

​Tambahnya, JIM turut mengeluarkan empat Borang 29 (saman) kepada warganegara tempatan bagi membantu siasatan, manakala KPDN mengeluarkan tiga tindakan kompaun di bawah Akta Antipencatutan 2011 berjumlah RM600 kepada pemilik premis.

​Kesemua warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan serta tindakan lanjut. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast