Pengarah Kastam JKDM LTAKL, Zulkifli Muhammad (tiga dari kanan) dalam sidang media yang bertempat di Kompleks Kastam Kargo, LTAKL, hari ini.

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) berjaya mematahkan cubaan transit 72 unit server yang mengandungi advanced AI chip serta penyeludupan 4,760 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM54.11 juta.

Pengarah Kastam JKDM LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, kejayaan itu merupakan hasil dua operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL pada bulan Jun.

Menurut beliau, dalam kes pertama, sepasukan anggota menyerbu sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas, LTAKL pada 5 Jun kira-kira pukul 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 72 unit server yang mengandungi advanced AI chip dibawa masuk ke Zon Perdagangan Bebas menggunakan satu Air Waybill sebelum dipercayai akan dieksport semula ke sebuah negara di Asia.

JKDM bersama lampiran beberapa rampasan cubaan transit 72 unit server yang mengandungi Advanced AI Chip di Kompleks Kastam Kargo, LTAKL, hari ini.

“Semua server itu disyaki tertakluk kepada transaksi melibatkan barang tidak tersenarai dan aktiviti terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo, LTAKL hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan termasuk cukai bagi 72 unit server itu dianggarkan RM52.92 juta dan syarikat pengendali penghantaran barang dagangan telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, sindiket mengikrarkan server berkenaan sebagai komponen komputer bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menggunakan Malaysia sebagai destinasi transit sebelum penghantaran ke negara seterusnya.

Dalam kes berasingan pada 10 Jun kira-kira pukul 10.50 pagi, JKDM merampas enam kotak berbalut plastik hitam di Ground Team Red (GTR), Zon Perdagangan Bebas, LTAKL yang dipercayai cuba dieksport ke sebuah negara jiran.

JKDM LTAKL bersama rampasan cubaan penyeludupan 4,760 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah di Kompleks Kastam Kargo, LTAKL, hari ini.

“Hasil pemeriksaan menemukan 4,760 kartrij cecair vape bernilai RM1.19 juta yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

“Dagangan itu diikrarkan sebagai alat ganti CPU dan dadah disembunyikan di dalam casing CPU bagi mengelak dikesan,” katanya.

Menurut beliau, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010, manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zulkifli turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada JKDM menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-88555 bagi membantu membanteras jenayah berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast