khairat BKM
Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. Foto arkib Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 selama enam bulan mulai 1 Julai 2026 sehingga 31 Disember 2026.

Pelanjutan tempoh ini merupakan usaha kerajaan untuk terus menggalakkan pematuhan penyeteman secara sukarela, di samping memberi ruang kepada pembayar duti yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).

Inisiatif ini juga dijangka dapat mengurangkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Setem 1949 serta meningkatkan tahap pematuhan secara berterusan.

Sehubungan dengan itu, pembayar duti hendaklah memastikan proses penyeteman dan pembayaran duti setem disempurnakan dalam tempoh PKPS Duti Setem 2026 yang telah dilanjutkan, tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1. Dalam tempoh PKPS Duti Setem 2026, semua surat cara yang disempurnakan mulai 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 layak untuk dikecualikan penalti berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949;

2. Penyeteman dan bayaran duti setem hendaklah dibuat dalam tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026;

3. Tiada permohonan rayuan penalti perlu dikemukakan dan penalti akan dikecualikan secara automatik apabila duti setem dibayar;

4. PKPS Duti Setem 2026 ini tidak terpakai bagi kes yang berunsurkan fraud;

5. Semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 dan telah disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026 tidak akan diaudit.

Walau bagaimanapun, PKPS Duti Setem 2026 tidak mengecualikan pembayar duti daripada diaudit ke atas surat cara lain yang tidak disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026, katanya.

LHDNM turut menyarankan pembayar duti mengemukakan permohonan penyeteman serta membuat bayaran duti setem lebih awal bagi memastikan notis taksiran boleh dikeluarkan dalam tempoh PKPS dan bayaran duti setem dapat dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, LHDNM menasihatkan orang ramai mengambil peluang untuk turut serta dalam PKPS Duti Setem 2026 yang dilanjutkan selama enam bulan ini dan diharapkan pelaksanaan inisiatif ini dapat menyokong kemampanan fiskal negara serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast