Tertuduh, Muhammad Riduan Abdullah, 28, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri tabung van jenazah dan beg jemaah serta khianat di tiga masjid berasingan selama dua hari berturut-turut sejak awal bulan ini.

ALOR GAJAH – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencuri tabung van jenazah dan beg jemaah serta khianat di tiga masjid berasingan selama dua hari berturut-turut sejak awal bulan ini.

Majistret, Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Riduan Abdullah, 28, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan khianat dengan memecahkan pintu gelangsar bahagian dapur Masjid Al-Najihin, Kampung Padang Sebang menggunakan sebuah tangga pada jam 5.30 pagi, 7 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Sesyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah mencuri wang tabung kutipan pembelian van jenazah di Masjid Al-Qaniteen, Tanjung Rimau pada pukul 5 petang hari yang sama.

Lelaki itu turut mengaku bersalah mencuri seutas beg tangan milik seorang wanita di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang pada pukul 4.45 petang, 8 Jun lalu sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,200.

Kes berkenaan tular di media sosial sehingga polis mengeluarkan kenyataan memburu tertuduh yang tular videonya berbaju T dan berseluar pendek melarikan beg tangan seorang jemaah wanita, penuntut universiti berusia 19 tahun ketika sedang menunaikan solat Asar.

Bagi kedua-dua pertuduhan mencuri, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dipenjara, didenda atau disebat.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu hukuman paling ringan dengan alasan dia hidup sebatang kara dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, selepas pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan.

Dr. Teoh dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira bahawa kesalahan dilakukan adalah di kawasan masjid yang menjadi tempat orang ramai beribadah, mencari ketenangan dan berasa selamat.

Tindakan tertuduh telah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap rumah ibadat sebagai tempat yang bebas daripada sebarang jenayah.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,400 atau penjara dua bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan penjara 10 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast