Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Keputusan Pas hanya bertanding 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini terus mengundang pelbagai persoalan, terutama apabila beberapa kerusi yang sebelum ini menyaksikan pertandingan sengit tidak lagi ditandingi parti itu.

Lebih menarik, kerusi seperti Puteri Wangsa dan Kempas, Pemanis, Kemelah, Bukit Kepong dan Tenggaroh tidak lagi menyaksikan kehadiran calon Pas.

Persoalannya, adakah ia sekadar strategi memberi tumpuan kepada kerusi yang lebih berpotensi dimenangi, atau sebenarnya membuka laluan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan lebih besar di kawasan marginal?

Persoalan itu menjadi semakin menarik apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, lebih awal menyatakan parti itu sudah bersedia memainkan peranan sebagai pembangkang di Johor selepas PRN berakhir.

Kenyataan itu luar daripada kebiasaan kerana kebanyakan parti politik yang memasuki gelanggang pilihan raya lazimnya akan menzahirkan keyakinan untuk membentuk kerajaan, bukannya lebih awal membicarakan peranan sebagai pembangkang.

Justeru, timbul persoalan sama ada kenyataan Abdul Hadi itu sekadar persediaan menghadapi kemungkinan tidak membentuk kerajaan atau sebenarnya memberi bayangan bahawa sasaran Pas kali ini bukanlah untuk menguasai Johor.

Lebih penting, keputusan tidak bertanding di beberapa kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya lalu dilihat berpotensi mengurangkan pertembungan tiga penjuru yang sebelum ini sering memecahkan undi Melayu.

Jika sebahagian besar penyokong Pas memilih untuk mengalihkan sokongan kepada calon BN di kawasan-kawasan berkenaan, ia berpotensi memberi kelebihan besar kepada UMNO untuk mempertahankan, malah menambah kemenangan di kerusi-kerusi marginal.

Sekiranya BN berjaya memperoleh kemenangan besar, kerajaan negeri bukan sahaja memiliki majoriti yang lebih kukuh, malah berpeluang melantik enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan seperti diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Atas sebab itu, pemerhati politik mula bertanya sama ada strategi Pas kali ini secara tidak langsung membantu laluan UMNO memperoleh majoriti yang lebih selesa walaupun tiada sebarang bentuk kerjasama rasmi diumumkan antara kedua-dua parti.

Malah, tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada bibit-bibit Muafakat Nasional sebenarnya sudah mula diterjemahkan di Johor, bukan melalui sidang media atau perjanjian rasmi, tetapi menerusi strategi pengagihan kerusi yang akhirnya memberi manfaat kepada BN.

muafakat nasional MN keahlian

Hakikatnya, hanya keputusan di peti undi akan menentukan sama ada segala persoalan itu sekadar kebetulan atau benar-benar merupakan satu percaturan politik yang lebih besar daripada apa yang dapat dilihat pada hari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast