Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Dato Onn, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

KULAI – Pakatan Harapan (PH) belum bersedia mengumumkan calon Menteri Besar Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengumuman mengenainya hanya akan dibuat pada masa yang sesuai kerana keutamaan ketika ini adalah memastikan kempen semua calon PH berjalan lancar.

“Apabila tiba masanya, kita akan umumkan. Buat masa ini fokus kita ialah berkempen dan membantu semua calon,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR berkata, seluruh jentera PH kini digerakkan sepenuhnya bagi memastikan mesej dan tawaran gabungan itu dapat disampaikan kepada pengundi sepanjang tempoh kempen.

Nama bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Maszlee Malik, antara yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar sekiranya PH berjaya memperoleh majoriti pada PRN kali ini.

Mengulas proses penamaan calon, Saifuddin berkata, kesemua 56 calon PH berjaya mengemukakan borang pencalonan masing-masing tanpa sebarang masalah.

Katanya, semua pencalonan diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, memberi permulaan yang positif kepada PH dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.

“Selepas selesai proses penamaan calon, tumpuan kita kini beralih sepenuhnya kepada gerak kerja kempen bagi memastikan setiap tawaran PH dapat diterangkan dengan jelas kepada pengundi di seluruh Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast