MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni mahu memulangkan gajinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada rakyat sepanjang tempoh sepenggal menerusi skim kad subsidi sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Bekas ADUN Bukit Naning itu berkata, tawaran berkenaan merupakan kali pertama diperkenalkannya kepada pengundi dan tidak pernah ditawarkan ketika beliau memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Menurutnya, skim itu akan memberi manfaat kepada 300 isi rumah yang layak dengan setiap penerima menerima subsidi RM30 bagi pembelian barangan keperluan menerusi kad subsidi.
“Saya tawarkan satu perkara yang saya fikir baik untuk rakyat. Sekiranya saya menang dalam pilihan raya kali ini, saya akan pulangkan gaji saya kepada rakyat selama sepenggal.
“Mekanismenya ialah berikan subsidi RM30 kepada 300 isi rumah yang layak yang mana penerima kad subsidi ini boleh berbelanja di pasar raya panel yang kita tetapkan dan mendapat potongan RM30.
“Kalau dia berbelanja RM100, dia hanya perlu membayar RM70. Jumlah subsidi kepada 300 isi rumah itu ialah RM9,000 dan itulah yang saya maksudkan sebagai memulangkan gaji kepada rakyat,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor itu berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas diumumkan sebagai calon dalam saingan lima penjuru di Pusat Penamaan Calon di Dewan Angsana Maktab Teknik PDRM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Md Ysahrudin berkata, sebelum ini beliau tidak pernah buat tawaran seperti ini pada tahun 2018, tetapi mahu melaksanakannya jika diberi mandat.
“Alhamdulillah, setakat ini sumber pendapatan sendiri termasuk hasil daripada tanah yang diusahakan dan ia digunakan sebagai perbelanjaan diri serta anak isteri.
“Kita fikir ini dapat mengurangkan sedikit bebanlah kepada masyarakat di Bukit Naning yang masih memerlukan memandangkan soal kebajikan itu menjadi perkara pokok (asas) lagi,”katanya.
Beliau berkata, selain aspek kebajikan, antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah menyelesaikan isu infrastruktur yang masih membelenggu penduduk.
Mengulas saingan lima penjuru di DUN Bukit Naning, Md Ysahrudin berkata, beliau menghormati semua pencabar kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Bagaimanapun, beliau percaya rekod perkhidmatannya sebagai bekas ADUN Bukit Naning memberi sedikit kelebihan dalam meyakinkan pengundi.
“Saya datang bukan sebagai raja, tetapi untuk bekerja kepada rakyat. Pilihlah pemimpin yang rakyat fikir benar-benar boleh bekerja untuk mereka,” katanya.
Empat lagi calon lain DUN Bukit Naning ialah Mohd Ghazali Sabari (BN), Mohd Radzi Amin (Perikatan Nasional) dan Iskandar Md Alias (Parti Bersama Rakyat).
Turut kembali mencuba nasib ialah calon Bebas, S. Jeganathan yang pernah bertanding di kerusi sama sebelum ini namun gagal memperoleh kemenangan. – MalaysiaGazette
















