JOHOR BAHRU – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengingatkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya mengamalkan politik matang dan berhemah, dengan mengelakkan kenyataan menjejaskan hubungan dalam kerajaan Perpaduan atau mengheret institusi Raja ke dalam kancah politik.
Beliau berkata, walaupun setiap parti mempunyai hak untuk berkempen dan mempertahankan pendirian masing-masing, ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab tanpa mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi atau memainkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian politik negara.
Menurutnya, PRN Johor berlangsung dalam landskap politik yang unik apabila beberapa parti yang bertanding sesama sendiri di negeri itu pada masa sama bekerjasama mentadbir negara menerusi Kerajaan Perpaduan.
“Pilihan raya datang dan pergi, tetapi hubungan kerja dalam kerajaan Persekutuan perlu diteruskan demi kepentingan rakyat.
“Oleh kerana kerajaan Persekutuan terdiri daripada kerajaan Perpaduan, saya berharap semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh merunsingkan atau menjejaskan hubungan mereka yang sedang bekerjasama mentadbir negara.
“Saya tujukan perkara ini kepada semua pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Vigneswaran berkata, perbezaan pendapat dalam politik adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya bertukar menjadi serangan melampau yang akhirnya menyukarkan kerjasama selepas pilihan raya berakhir.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan institusi Raja sebagai bahan kempen atau mengaitkan Istana dengan sebarang polemik politik.
Katanya, dalam keghairahan meraih sokongan pengundi, ada kalanya pemimpin politik mengeluarkan kenyataan di luar batas sehingga menyentuh institusi yang sepatutnya dihormati dan berada di luar gelanggang politik.
“Kita jangan kerana terlalu marah atau terlalu ghairah hendak menyerang pihak lawan sehingga mengeluarkan kenyataan yang melibatkan institusi Raja atau mengheret Istana ke dalam politik.
“Institusi Raja perlu dihormati oleh semua pihak. Pilihan raya mesti berlangsung secara matang dan beradab tanpa mencampurkan institusi yang berada di atas kepentingan politik,” tegasnya.
Beliau berkata, rakyat Johor kini lebih berminat mendengar penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, bekalan air, tebatan banjir, perumahan serta kemudahan asas, berbanding retorik politik yang keterlaluan.
Sehubungan itu, katanya, setiap parti seharusnya menggunakan tempoh berkempen untuk menawarkan dasar, idea dan penyelesaian yang mampu membawa kemajuan kepada Johor, bukannya menumpukan kepada serangan peribadi.
Mengulas penyertaan MIC dalam PRN Johor, Vigneswaran berkata parti itu mempertaruhkan empat calon di DUN Kahang, Kemelah, Bukit Batu dan Perling.
Beliau berkata, MIC optimis dapat mempertahankan kerusi Kahang dan Kemelah, selain berpeluang merampas Bukit Batu serta Perling menerusi gerak kerja akar umbi dan kerjasama semua parti komponen BN.
Menurutnya, peluang di Bukit Batu dilihat lebih terbuka berdasarkan perkembangan landskap politik semasa, manakala Perling memerlukan usaha yang lebih menyeluruh memandangkan persaingan dijangka sengit.
“Calon MIC perlu bekerja lebih keras daripada biasa. Namun saya yakin seluruh jentera BN akan memberikan komitmen sepenuhnya kerana kemenangan bukan hanya untuk MIC, tetapi untuk Barisan Nasional secara keseluruhannya.
“Kita mempunyai strategi dan gerak kerja tersusun di semua empat kerusi yang ditandingi dan saya percaya, dengan sokongan semua parti komponen serta pengundi, MIC mampu mencatat keputusan yang positif,” katanya.
Beliau turut menyeru semua penyokong parti agar menjaga adab sepanjang tempoh berkempen dan tidak mencetuskan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Vigneswaran menyifatkan PRN Johor sebagai medan untuk rakyat menilai keupayaan setiap parti menawarkan kepimpinan yang stabil serta hala tuju terbaik untuk masa depan negeri. -MalaysiaGazette
















