Calon Pemanis (PH), Jalex Lee En Xiang

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin yakin calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang memiliki segala kriteria diperlukan untuk menjadi pemimpin muda yang mampu membawa pembangunan lebih seimbang kepada Johor.

Beliau berkata, Jalex bukan sekadar tampil sebagai calon pilihan raya, sebaliknya membawa visi yang jelas untuk memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu di kawasan bandar atau selatan Johor semata-mata.

Menurutnya, antara keutamaan Jalex ialah memastikan kemajuan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan dapat dirasai secara lebih menyeluruh termasuk di utara Johor, khususnya di kawasan Pemanis.

“Beliau sering menegaskan bahawa kemajuan Johor perlu dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi. Pembangunan tidak boleh hanya tertumpu di Johor Bahru atau kawasan tengah sahaja.

“Ramai anak muda di Pemanis terpaksa berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan. Keadaan itu perlu diubah dengan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Danish Hairudin bersama calon Pemanis, Jalex Lee En Xiang

Danish berkata, walaupun pertama kali dipilih sebagai calon pilihan raya, Jalex bukanlah individu asing dalam kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat.

Katanya, pengalaman sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse telah memberi pendedahan luas kepada Jalex mengenai pelbagai isu dihadapi rakyat serta kaedah terbaik untuk menyelesaikannya.

“Beliau memahami masalah masyarakat di peringkat akar umbi dan tahu pendekatan yang sesuai bagi mempermudahkan urusan rakyat.

“Pengalaman itu menjadi bekalan penting untuk beliau membawa suara penduduk Pemanis sekiranya diberi mandat,” ujarnya.

Danish turut menyifatkan Jalex sebagai seorang pemimpin muda yang mempunyai kelebihan dari sudut akademik apabila memiliki latar belakang dalam bidang Dasar Awam, menjadikan beliau memahami proses pembentukan dasar serta keperluan membangunkan rakyat secara adil dan menyeluruh.

Selain itu, katanya, Jalex juga aktif mengupas pelbagai isu berkaitan dasar kerajaan serta sering mengemukakan pandangan membina mengenai pembangunan negara.

Menurut Danish, di sebalik kejayaannya sebagai usahawan muda dalam sektor hartanah dan pembangunan, Jalex memilih untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupannya dengan menceburi bidang politik demi menyumbang pengalaman, kepakaran dan kemahirannya kepada rakyat Johor.

“Beliau sebenarnya sudah berjaya dalam dunia perniagaan pada usia muda. Namun beliau memilih untuk keluar daripada zon selesa kerana mahu berbakti kepada rakyat dan menggunakan pengalaman dimiliki bagi membantu membangunkan negeri ini.

“Itulah kekuatan Jalex. Beliau mempunyai pengalaman sebagai usahawan, memahami dasar awam dan dekat dengan denyut nadi masyarakat,” ujarnya.

Danish berkata, keperibadian Jalex yang mudah didekati, berhemah serta mesra dengan semua lapisan masyarakat turut menjadi antara faktor beliau diterima baik oleh penduduk pelbagai kaum.

Beliau berkata, sambutan diterima sepanjang tempoh awal kempen juga amat menggalakkan apabila gerak kerja Jalex mendapat respons positif bukan sahaja daripada pengundi bukan Melayu, malah turut menerima sokongan memberangsangkan daripada pengundi Melayu.

“Penduduk Pemanis memerlukan seorang wakil rakyat yang agresif, kreatif dan berani membawa idea baharu.

“Saya percaya Jalex memiliki kemampuan itu dan mampu menjadi pemimpin generasi baharu yang akan membawa pembangunan lebih seimbang, memperkukuhkan pendidikan anak muda serta memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat di Pemanis,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast