JOHOR BAHRU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa secara rasmi menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan lima calon layak bertanding, hari ini.
Tumpuan terarah kepada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mewakili Pakatan Harapan (PH), selain namanya turut disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi menerajui Johor sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.
Pertandingan di Puteri Wangsa turut mencuri perhatian kerana ia melibatkan pertembungan antara PH yang mempertaruhkan bekas menteri Kabinet, BN yang mahu merampas semula kerusi berkenaan, MUDA sebagai penyandang, selain penyertaan Bersama dan calon Bebas.
Maszlee akan berdepan Teow Chia Ling daripada Barisan Nasional (BN), Rashifah Aljunied (MUDA), Nicholas Paul Vincent (Bersama) serta calon bebas, Wang Wee Siong.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, kerusi Puteri Wangsa dimenangi Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz, yang ketika itu menewaskan lima pencabar lain dengan majoriti 7,114 undi.
Bagaimanapun, kali ini MUDA mempertaruhkan muka baharu, Rashifah Aljunied, manakala Amira Aisya hadir mengiringi calon parti itu pada hari penamaan calon.
Maszlee pula kembali bertanding di Puteri Wangsa selepas pernah tewas pada PRN 2022 dan dikatakan menjadi taruhan utama PH untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
Kerusi Puteri Wangsa juga menjadi antara perhatian utama pemerhati politik berikutan spekulasi Maszlee merupakan antara nama yang berpotensi dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PH berjaya memperoleh majoriti selepas pengundian pada 11 Julai nanti.
PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan pengundian awal dijadualkan pada 7 Julai, manakala hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai.
Pertandingan lima penjuru di Puteri Wangsa dijangka menjadi antara saingan paling sengit dalam PRN Johor memandangkan kerusi itu dianggap antara medan penting yang mampu mempengaruhi landskap politik di kawasan Johor Bahru. -MalaysiaGazette
















