KULAI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor penting dalam menentukan masa depan negeri tersebut dalam usaha untuk terus memajukan ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan sektor kesihatannya.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, sehubungan itu penting untuk memilih wakil rakyat yang faham masalah dan mempunyai ‘koordinasi’ dengan kerajaan Persekutuan.
Menteri Digital itu berkata, mana-mana kerajaan negeri tidak boleh berjaya tanpa sokongan dan dokongan kerajaan di peringkat Putrajaya.
Beliau menegaskan, kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan mana-mana kerajaan negeri sebaliknya melihat semua negeri adalah sama rata dan Johor tetap mendapat peruntukan.
“Kita lihat Johor sebagai negeri yang bawa tanda kejayaan ekonomi baharu di rantau ini, Johor dengan dengan Singapore dan bertahun kita sudah angkat ekonomi Johor supaya jadi sebagai tempat tumpuan pelaburan di seluruh dunia.
“Kerajaan Pusat tahu masalah kesesakan, tahu masalah kurang hospital, tahu masalah kurang sekolah dan kerajaan tahu perlu beri fokus untuk gerakkan ekonomi.
“Tetapi bertahun-tahun kita lihat tiada langkah yang serius diambil untuk atasi masalah ini, janji untuk laksana jika diberikan mandat dan menang (pilihan raya) akan buat (tapi) peruntukan tak cukup,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Pelancaran Pusat Operasi Utama (POU) Pakatan Harapan (PH) N50 DUN Bukit Permai di Bandar Putra IOI, di sini malam ini.
Turut hadir Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching; calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sern Sen dan calon DUN Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani.
Gobind berkata, menyedari masalah itu kerajaan Persekutuan bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan RM10.2 bilion untuk negeri ini.
Jelasnya, langkah tersebut menunjukkan Perdana Menteri amat mengambil berat terhadap keperluan Johor sekali gus menolak dakwaan kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu.
Justeru katanya, perubahan perlu dilakukan dan rakyat Johor perlu keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung 11 Julai ini.
Jika menang PRN itu katanya, kerajaan negeri yang ‘selari’ dengan kerajaan Persekutuan akan meneruskan kemajuan dan pembangunan sedia ada.
Pesannnya, rakyat tidak perlu terperangkap dengan pihak yang memainkan isu perkauman dan memecahbelahkan perpaduan sejak empat tahun lalu.- MalaysiaGazette
















