Suasana awal ketika anggota Polis melakukan kawalan di perkarangan Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai, Johor. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Kesemua 56 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dibuka serentak 9 pagi ini.

Bakal-bakal calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di pusat penamaan calon, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.

Sebaik sahaja proses pengesahan selesai, bermulalah tempoh berkempen selama 14 hari sepertiĀ  ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 11.59 malam, 10 Julai.

Bagi proses penyerahan, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat penamaan calon mendapati penyokong parti-parti politik mula berkumpul seawal 6.30 pagi bagi memberi sokongan kepada calon pilihan masing-masing.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di daerah Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi, Pontian, Tangkak dan Kulai pada sebelah pagi ini, manakala Segamat, Kluang serta Mersing diramalkan cerah.

MetMalaysia turut menjangkakan ribut petir di kebanyakan daerah termasuk Johor Bahru, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi pada sebelah petang.

Bagi memastikan kelancaran proses, pihak polis dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal ketat aspek keselamatan serta lalu lintas di sekitar kawasan PPC bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

SPR menetapkan hari pengundian pada 11 Julai manakala undi awal pada 7 Julai. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast