Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Dato Onn, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Dato Onn menjadi antara lokasi paling mendapat perhatian pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pagi ini.

Tumpuan itu terarah kepada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dijangka dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi berkenaan.

Selain merupakan antara pemimpin berprofil tinggi yang ditampilkan PH pada PRN kali ini, nama Maszlee turut menjadi sebutan susulan desas-desus beliau berpotensi diangkat sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PH berjaya memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri.

PRN Johor kali ini menyaksikan pertandingan bagi kesemua 56 kerusi DUN, dengan hari penamaan calon berlangsung hari ini sebelum pengundian awal diadakan pada 7 Julai, manakala hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai.

Seawal jam 7 pagi, petugas media daripada pelbagai agensi sudah mula berkumpul di luar pusat penamaan calon bagi membuat persiapan liputan.

Sementara anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengawal setiap laluan masuk ke kawasan berkenaan.

PDRM turut memperketat kawalan keselamatan dengan memasang penghadang kawat duri di beberapa lokasi strategik bagi mengawal pergerakan penyokong parti politik dan orang awam sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Setakat jam 8 pagi ketika artikel ini ditulis, kelibat calon-calon yang dijangka bertanding di DUN Puteri Wangsa masih belum kelihatan tiba di pusat penamaan calon.

Bagaimanapun, suasana di luar pusat penamaan calon semakin meriah apabila penyokong parti politik mula berkumpul sambil membawa bendera dan sepanduk bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Difahamkan, beberapa pemimpin kanan PH dijangka hadir mengiringi calon mereka, antaranya Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengikut maklumat yang diperoleh, Maszlee dijangka berdepan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), MUDA dan Parti Bersama Malaysia.

DUN Puteri Wangsa dilihat antara kerusi mencuri perhatian pada PRN Johor kali ini bukan sahaja kerana membabitkan penyertaan beberapa calon berprofil tinggi, malah turut dikaitkan dengan spekulasi mengenai calon Menteri Besar sekiranya berlaku perubahan pentadbiran negeri selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Proses penamaan calon dijadual bermula pada jam 9 pagi sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding sebaik tamat tempoh penyerahan borang pencalonan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast