TEKUN Nasional

JOHOR BAHRU – Usahawan Johor terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan apabila Johor kini merupakan negeri ketiga tertinggi yang menerima penyaluran pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini, TEKUN Nasional iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM52 juta kepada 2,400 usahawan di Johor.

Menurutnya, daripada keseluruhan penerima pembiayaan tersebut, seramai 64 peratus merupakan usahawan wanita.

Steven Sim

Ujarnya, pencapaian itu menunjukkan kaum wanita Johor memainkan peranan yang amat penting dalam aktiviti keusahawanan dan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Jelas beliau, penerima pembiayaan TEKUN di Johor kebanyakannya terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan seramai 1,183 usahawan, diikuti sektor peruncitan (669), pembuatan (260), kontraktor kecil (234) serta pertanian dan perusahaan asas tani (54).

“Majoriti usahawan TEKUN terdiri daripada usahawan mikro dan komuniti yang merupakan antara tulang belakang ekonomi rakyat.

“Ini sejajar dengan landskap perusahaan negara, di mana hampir 80 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Steven Sim menghadiri sesi Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 400 usahawan TEKUN Johor baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para usahawan TEKUN atas dedikasi mereka dalam membangunkan perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga masingmasing, di samping menyumbang sebagai antara penggerak ekonomi rakyat dan negara.

Menurut beliau, pembiayaan TEKUN bukan sekadar menyediakan modal perniagaan, malah turut membuka ruang kepada peningkatan teknologi, keupayaan perniagaan dan produktiviti usahawan.

Dalam majlis itu, beliau turut menekankan bahawa KUSKOP menyediakan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh, merangkumi pembiayaan mikro melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pembiayaan pertumbuhan menerusi SME Corp Malaysia, SME Bank dan Bank Rakyat.

Selain itu, ujarnya, turut disediakan latihan dan pembangunan kapasiti melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta pelbagai agensi lain di bawah kementerian.

Tambahnya, dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), penambahbaikan infrastruktur serta kemasukan pelaburan baharu ke negeri itu, Johor dilihat berada pada kedudukan yang strategik untuk muncul sebagai hab pertumbuhan baharu negara.

“Perkembangan ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk berkembang menjadi perniagaan yang lebih besar, produktif dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast