KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan pendedahan berkenaan statistik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata adalah tidak memadai.
Sebaliknya, menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, pendedahan statistik itu perlu diperincikan mengikut kategori kesalahan yang dilakukan pegawai SPRM terlibat.
Menurut beliau, masyarakat berhak mengetahui berapa banyak kes melibatkan rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan, kebocoran maklumat, pemerasan atau penyelewengan.
Selain itu, tambahnya, masyarakat juga berhak mengetahui berapa pula yang melibatkan kes disiplin pentadbiran seperti ponteng kerja, lewat hadir, ingkar arahan atau pelanggaran etika perkhidmatan.
“Pengelasan ini penting bagi mengelakkan salah tafsir bahawa semua kes tatatertib berkaitan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini berkongsi statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mana sebanyak 226 kes tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai SPRM dalam tempoh empat tahun bermula 2021, berbanding tiga lagi badan penguatkuasaan utama negara.
Statistik itu menunjukkan kes membabitkan SPRM pada 2021 adalah sebanyak 40, diikuti 68 kes (2022), 51 kes (2023) dan 67 kes (sehingga September 2024).
Dalam tempoh sama, kes membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula adalah 14,211; Jabatan Imigresen Malaysia (348) dan Jabatan Penjara Malaysia (312).
Sementara itu, Jais berkata, MCW mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dengan semua agensi penguat kuasa seperti PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, JPJ, Jabatan Penjara, RELA dan agensi penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menerbitkan statistik tatatertib mengikut format yang seragam.
Beliau turut mengesyorkan penerbitan Laporan Integriti Tahunan Agensi Penguat Kuasa yang mengandungi jumlah aduan, jenis kesalahan, keputusan siasatan, bentuk hukuman, tempoh penyelesaian kes serta tindakan pembetulan yang diambil.
Ujarnya, langkah itu akan membolehkan analisis yang lebih objektif, penambahbaikan dasar secara berasaskan bukti serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa.
“Perjuangan membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada SPRM semata-mata.
“Integriti hendaklah menjadi budaya yang dikongsi oleh seluruh ekosistem penguatkuasaan negara melalui ketelusan, akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette















