KLANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif tambang percuma untuk Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sempena pembukaannya bermula esok selama sebulan hingga 31 Julai depan.
Tambang percuma itu turut merangkumi perkhidmatan bas perantara Prasarana yang beroperasi di sepanjang laluan tersebut.
Anwar turut menjadi antara penumpang terawal menaiki tren LRT3 Laluan Shah Alam dari Stesen Seri Andalas ke Depoh Johan Setia bagi merasai pengalaman menaiki perkhidmatan awam itu yang dibina sejak 2017.
LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia melalui 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran utama di Bandar Utama dan Glenmarie 2.
Stesen itu masing-masing menghubungkan pengguna dengan Laluan Kajang dan Laluan Kelana Jaya.
Laluan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di sepanjang koridor barat Lembah Klang yang meliputi Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang dengan unjuran sekitar 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi.
Bagi melengkapkan perjalanan penumpang, Laluan Shah Alam turut disokong oleh 13 laluan bas perantara Rapid KL serta 20 zon Rapid KL On-Demand sekali gus memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan dan memudahkan akses ke kawasan perumahan, pusat pekerjaan, institusi pendidikan serta destinasi-destinasi tumpuan lain.
“Pembukaan Laluan Shah Alam merupakan tanda kesungguhan kita bersama dengan kerajaan dan swasta bagi memastikan pengangkutan awam itu diberi keutamaan dan keselesaan dan kelegaan kepada rakyat.
“Rakyat inginkan kemudahan pengangkutan yang terbaik tetapi mereka merasakan kadar bayaran mestilah munasabah,” kata Anwar pada majlis peluncuran Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia di sini hari ini.
Turut hadir hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor; Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad; Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, serta Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Amir Hamdan.
Sementara itu, keseluruhan kos projek pembinaan LRT3 adalah sebanyak RM16.63 bilion yang mana RM11.43 bilion diperuntukkan bagi pakej pembinaan, manakala selebihnya meliputi kos pengambilan tanah, arahan perubahan kerjadan kos berkaitan lain.
Projek LRT3 merupakan projek rel pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi “U-Trough” yang menggunakan komponen blok girder berbentuk ‘U’ yang dihasilkan secara pra-reka (precast) di luar tapak pembinaan dan kemudian dibawa ke lokasi untuk dipasang.
la membolehkan komponen pembinaan jajaran dilakukan di tapak berpusat dan terkawal di mana “U-Trough” itu kemudiannya dibawa ke tapak pembinaan untuk dipasangkan di sepanjang jajaran.
“U-Trough” juga dilengkapi dengan penghadang bunyi untuk mengurangkan gangguan bunyi kepada kawasan sekitarnya semasa peringkat operasi.
Kelebihan teknologi itu membolehkan pembinaan lebih cepat, mengurangkan gangguan kepada orang ramai kerana kerja di tapak adalah minimum. – MalaysiaGazette
















