Foto FB Negeri Sembilan FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Liga Malaysia (Liga-M), Negeri Sembilan FC  mengumumkan pelantikan pengendali dari Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz sebagai ketua jurulatih baharu skuad Rusa bagi menghadapi saingan musim 2026/27.

Kelab itu berkat, pemegang Lesen UEFA Pro itu mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam bola sepak profesional merentasi benua Eropah, Asia dan Afrika.

“Sepanjang karier kejurulatihannya, beliau pernah berkhidmat bersama Al Ahed FC dari Lubnan, Al Nejmeh SC dari Lubnan, Al Hilal dari Sudan, Modern Sport FC dari Mesir, Akhaa Al Ahly FC dari Lubnan, skuad Bawah 17 Tahun Kebangsaan Lubnan serta Al-Nasr Club di Liga Profesional Oman.

“Antara pencapaian terbesar beliau termasuk memenangi Piala AFC 2019 bersama Al Ahed FC, menjuarai Liga Perdana Sudan bersama Al Hilal dan terkini menamatkan saingan Liga Profesional Oman bersama Al-Nasr di tempat ketiga sekali gus melayakkan kelab itu ke saingan Piala Juara-Juara Kelab Arab,” menurut kenyataan kelab itu di Facebook rasmi miliknya di sini.

Skuad Hoben Jang Hoben memberitahu pelantikan itu selaras dengan hala tuju kelab yang menekankan pembangunan pemain muda, identiti permainan yang jelas, disiplin taktikal serta pembentukan pasukan yang kompetitif dan mampan.

Sementara itu, Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan sama berkata, pelantikan Alcaniz melalui proses penilaian teliti dan beliau diyakini sebagai calon paling sesuai untuk menerajui projek pembangunan bola sepak kelab.

Beliau berkata, pengalaman jurulatih berusia 42 tahun di beberapa negara dan falsafah bola sepak moden yang dimilikinya selari dengan identiti yang mahu diterapkan skuad Jang.

“Kami mahu membina sebuah pasukan yang berani bermain bola sepak moden, mempunyai organisasi taktikal yang baik dan pada masa sama, memberi ruang serta peluang kepada pemain muda untuk berkembang.

“Daniel Gimenez mempunyai rekod baik dalam membangunkan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain. Ini amat penting kerana masa depan Negeri Sembilan bergantung kepada keupayaan kelab membangunkan pemain yang mampu menjadi tulang belakang pasukan dalam jangka panjang,” katanya.

Aminuddin optimis pengalaman, kepakaran dan kepimpinan yang dimiliki Alcaniz mampu membantu skuad Rusa mencapai sasaran yang ditetapkan serta membawa kelab itu ke tahap membanggakan.

Dia dijangka memulakan tugasnya bersama barisan kejurulatihan yang akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Foto FB Negeri Sembilan FC.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast