Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong semua calon yang bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ini kerana Bersatu komited dan setia terhadap PN serta jenama gabungan politik itu.

Tegasnya, PN juga bertanding sebagai satu entiti, justeru kemenangan semua calon yang menggunakan logo PN, termasuk dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah kemenangan PN.

Sehubungan itu, ujarnya, pemimpin-pemimpin parti anggota di dalam PN perlu jelas dengan pendirian brand loyalty agar kemenangan PN dapat dimaksimumkan.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah menegaskan bahawa jika BN diberi mandat, pendirian mereka akan selari dengan pendirian kerajaan PH-BN di Pusat.

“Ini menjelaskan bahawa undi BN, sama seperti undi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), DAP dan PH. Ini mengukuhkan sebab kenapa parti-parti anggota PN perlu memberikan sokongan penuh kepada semua calon PN dan bukan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan kenyataan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru penyokong mengundi calon UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang tidak ditandingi gabungan itu.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, arahan tersebut bertujuan mengelakkan perpecahan undi serta mengukuhkan sokongan gabungan itu bagi menentang Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, gesaan itu mencerminkan komitmen PN untuk memastikan undi yang menolak PH tidak berpecah di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Johor akan terus bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya gabungan itu sekali lagi diberi mandat mentadbir negeri pada PRN Johor kali ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast