Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.

MASIH terlalu awal untuk meramalkan parti mana yang lebih menonjol dan mampu meraih kemenangan selesa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Apatah lagi, suasana kempen yang memasuki hari kedua hari ini selepas selesai proses penamaan calon semalam dilihat terlalu hambar seolah-olah tidak berlangsungnya pesta pilihan raya di negeri selatan ini.

Di kebanyakan kawasan, hampir tidak kelihatan bendera; poster atau banting mana-mana parti yang bertanding pada PRN Johor kali ini, situasi yang jauh berbeza berbanding PRN lalu.

Perkara itu turut diakui Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Hussain Yusri Zawawi yang turut meninjau suasana PRN Johor kali ini.

Dr. Hussain Yusri Zawawi

Menurut beliau, berbanding pengalaman beliau pada beberapa PRN sebelum ini, semangat di peringkat akar umbi pada PRN Johor kali ini disifatkan masih kelihatan sederhana.

Jelasnya, keadaan itu boleh disebabkan oleh beberapa faktor antaranya parti-parti yang bertanding masih menyusun strategi kempen dan memberi tumpuan kepada kawasan sasaran.

Selain itu, ujarnya, pengundi kini juga lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui media sosial berbanding kempen fizikal semata-mata.

Tambah beliau, faktor keletihan politik juga mungkin menyebabkan rakyat masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum benar-benar memberikan perhatian kepada kempen.

“Saya menjangkakan kempen pada PRN Johor ini hanya akan benar-benar memuncak apabila pemimpin-pemimpin utama dari pelbagai parti politik turun padang dan isu-isu tempatan mula dimainkan secara lebih agresif,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, Hussain Yusri berpandangan, berdasarkan kepada kekuatan jentera, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini dilihat mempunyai kelebihan dari sudut organisasi dan jaringan akar umbi.

Bagaimanapun, ujarnya, kelebihan itu tidak bermaksud UMNO-BN boleh berasa selesa kerana landskap politik hari ini jauh lebih dinamik dan corak pengundian semakin sukar diramal.

Bagi Pakatan Harapan (PH) pula, katanya, parti itu berdepan cabaran memastikan penyokong tradisional keluar mengundi dalam jumlah yang tinggi.

“DAP khususnya berdepan cabaran mengekalkan momentum sokongan sekiranya berlaku penurunan peratusan keluar mengundi atau perubahan sentimen dalam kalangan pengundi bandar dan separa bandar,” katanya.

Ditanya dengan andaian banyak pihak DAP bakal menerima nasib sama seperti pada PRN Sabah apabila ditolak total pengundi, Hussain Yusri bagaimanapun menilai PRN Sabah tidak boleh dibuat perbandingan langsung dengan PRN Johor ketika ini.

“Ini kerana konteks politik Johor mempunyai struktur parti, komposisi pengundi dan isu tempatan yang berbeza.

“Sebarang perbandingan perlu dibuat dengan berhati-hati kerana faktor yang mempengaruhi keputusan di kedua-dua negeri tidak semestinya sama,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan Perikatan Nasional (PN) yang memasuki gelanggang PRN Johor dalam situasi yang dilihat tidak sehaluan dan berantakan, beliau berkata, penyertaan gabungan politik tersebut kali ini tetap mempunyai rasional politik yang jelas.

Menurutnya, PN perlu memastikan jenama dan pengaruh gabungan itu terus relevan dalam persaingan politik nasional.

Sehubungan itu, jelas beliau, PRN Johor ke-16 ini menjadi platform untuk PN menguji kekuatan jentera serta mengukur tahap sokongan semasa selepas beberapa perkembangan politik kebelakangan ini.

Tambahnya, meskipun wujud perbezaan pendekatan antara parti-parti komponen di peringkat dalaman PN ketika ini, namun, dalam politik pilihan raya, kepentingan untuk mengekalkan blok pembangkang yang kompetitif lazimnya mengatasi perbezaan tersebut.

“Oleh itu, fokus utama PN dijangka lebih tertumpu kepada usaha memaksimumkan sokongan pengundi, khususnya di kawasan yang mereka lihat mempunyai potensi untuk dimenangi,” katanya.

Paling mustahak, tambah beliau, keputusan PRN Johor kali ini bukan sahaja akan menentukan penguasaan kerusi, tetapi juga menjadi petunjuk penting terhadap hala tuju kerjasama dan keseimbangan kuasa dalam PN menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast