JOHOR BAHRU – Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), menggesa semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menghentikan budaya ejek-mengejek dan provokasi sepanjang tempoh berkempen kerana ia tidak mencerminkan kematangan politik yang diharapkan rakyat.
Amira Aisya Abdul Aziz yang juga penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa itu berkata, suasana yang disaksikan pada hari penamaan calon semalam menunjukkan masih terdapat penyokong parti yang gemar melontarkan ejekan dan kata-kata tidak wajar terhadap lawan politik.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja mencemarkan proses demokrasi, malah memberikan gambaran negatif kepada rakyat yang sedang menilai calon serta parti bertanding.
“Semasa kami bergerak ke pusat penamaan calon, kami mendengar pelbagai ejekan, makian dan provokasi daripada penyokong beberapa parti. Itu bukan budaya politik yang Johor perlukan.
“Pilihan raya bukan medan untuk kita berseronok dengan menghina orang lain. Ia adalah proses penting untuk rakyat memilih pemimpin yang akan mentadbir negeri ini,” katanya pada sidang media di Puteri Wangsa, hari ini.
Amira berkata, beliau turut kecewa apabila penyokong MUDA menjadi sasaran ejekan ketika melaungkan slogan dan menyanyikan lagu parti sepanjang hari penamaan calon.
“Mereka mengejek apabila kami menyanyikan lagu parti. Bila MUDA bercakap mengenai membanteras rasuah dan menolak penindasan, ada pula yang membuat bunyi ‘nyek-nyek’ untuk memperlekehkan mesej yang kami bawa.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya sendiri rasa segan apabila melihat budaya seperti ini kerana akhirnya rakyat sedang memerhati dan menilai bagaimana pemimpin serta penyokong mereka berkelakuan,” luahnya dengan kecewa.
Kata beliau, kempen pilihan raya sepatutnya menjadi pentas untuk parti menawarkan dasar, idea dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya medan menghina atau memperkecilkan pihak lawan.
“Setiap perkataan yang keluar daripada mulut ahli politik adalah cerminan kepada kepimpinan yang mereka mahu bawa. Budaya ejek-mengejek, menghina dan mencaci sudah tidak ada tempat dalam politik Johor dan Malaysia.
“Johor tidak sepatutnya menjadi tempat untuk mana-mana pihak datang membawa budaya seperti ini sebelum pulang semula selepas pilihan raya berakhir,” katanya.
Amira yang juga penduduk Puteri Wangsa berkata, beliau mahu sesiapa sahaja yang dipilih rakyat nanti benar-benar menunjukkan contoh kepimpinan yang baik.
“Sudah tentu saya mahu MUDA menang, tetapi kalau orang lain yang menang sekali pun, saya tetap mahu Puteri Wangsa dipimpin oleh seorang pemimpin yang berakhlak dan matang.
“Saya juga penduduk Puteri Wangsa. Saya tidak mahu pemimpin yang membudayakan ejekan dan penghinaan kerana akhirnya merekalah yang akan mewakili seluruh penduduk di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut mendakwa, budaya sama dapat dilihat di beberapa kawasan lain apabila penyokong parti saling bertikam lidah dan menghina antara satu sama lain walaupun parti masing-masing bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Di peringkat Pusat mereka berkawan, tetapi ketika berkempen di Johor mereka saling mengejek dan memalukan lawan di depan orang ramai. Budaya seperti ini tidak sepatutnya menjadi kultur politik Malaysia.
“Kita masih berada di awal kempen. Saya berharap semua parti dapat menunjukkan kematangan, menghormati demokrasi dan memberikan fokus kepada tawaran terbaik untuk rakyat, bukannya berlumba-lumba menghina lawan,” katanya. -MalaysiaGazette
















