Presiden MUDA Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz menegaskan kemampuan seseorang menjadi pemimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan jantina, sebaliknya melalui kualiti kepimpinan, integriti dan nilai yang dibawa kepada rakyat.

Namun, katanya, masih terdapat pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap calon wanita sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk mempertikaikan keupayaan mereka hanya kerana bergelar wanita.

“Kita menolak sekeras-kerasnya komen-komen seperti itu. Akhirnya, yang menentukan seseorang itu layak menjadi pemimpin bukan jantinanya, bukan bangsanya dan bukan agamanya.

“Yang penting ialah sama ada dia mempunyai kualiti, personaliti, integriti dan nilai untuk memimpin rakyat,” katanya pada sidang media di Puteri Wangsa, hari ini.

Amira berkata demikian ketika mengulas dakwaan terdapat individu yang menyarankan calon wanita supaya ‘duduk di rumah dan memasak’ berbanding terlibat dalam politik.

Menurut penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa itu, kenyataan sedemikian menggambarkan pemikiran lapuk yang tidak lagi relevan dalam landskap politik negara.

“Kalau ada yang masih beranggapan wanita hanya sesuai berada di dapur, mungkin mereka yang perlu melihat semula cara pemikiran mereka.

“Saya sendiri boleh memasak, tetapi pada masa sama saya juga mampu menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Kedua-duanya bukan sesuatu yang bercanggah,” jelasnya.

Beliau berkata, wanita hari ini telah membuktikan kemampuan memimpin dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan politik.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu menilai seseorang calon berdasarkan rekod perkhidmatan, idea serta keupayaan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya stereotaip terhadap jantina.

“Pilihan raya adalah medan untuk memilih pemimpin terbaik. Jadi biarlah rakyat membuat penilaian berdasarkan kemampuan seseorang calon, bukan berdasarkan sama ada dia lelaki atau wanita,” katanya.

Terdahulu, Amira hadir memperkenalkan calon Muda bagi kerusi N.41 Puteri Wangsa, Rashifa Aljuneid, selain mengumumkan tawaran parti menerusi ‘Kontrak Muda Johor’ sempena PRN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast