Gambar hiasan

KUMPULAN – Kumpulan Prasarana (Prasarana) kini mengendalikan 169 stesen rel transit merangkumi jumlah jajaran sepanjang 242.5 kilometer dengan pembukaan rasmi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bermula esok.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad berkata, pihaknya memikul amanah yang amat besar untuk memastikan lebih 1.2 juta perjalanan penumpang setiap hari berlangsung dengan lancar, selamat dan tepat pada masanya.

“Sesungguhnya, kejayaan merealisasikan Laluan Shah Alam ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak.

“Kepada lebih 800 warga kerja Laluan Shah Alam yang bakal mengendalikan operasi laluan ini, saya berharap agar saudara dan saudari terus memberikan perkhidmatan yang profesional, selamat, cekap dan mesra pelanggan.

“Semoga segala usaha yang dilaksanakan hari ini akan menjadi legasi yang memberi manfaat kepada generasi masa kini dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Laluan Shah Alam yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Depoh Johan Setia di sini hari ini ini.

Mohd. Nasir menambah, LRT3 atau Laluan Shah Alam merupakan pelaburan strategik negara yang akan mengubah landskap mobiliti di koridor barat Lembah Klang serta memperkukuh daya saing ekonomi negara untuk jangka panjang.

Katanya, pembukaan 20 stesen baharu di sepanjang Laluan Shah Alam sejauh 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia bakal memperkukuh kesalinghubungan serta menghubungkan pusat-pusat pertumbuhan utama seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang.

“Prasarana menyasarkan jumlah perjalanan penumpang mencecah 67,000 sehari pada tahun pertama operasi dan meningkat kepada lebih 117,000 perjalanan sehari dalam
tempoh lima tahun.

“Sasaran ini mencerminkan keyakinan kami bahawa Laluan Shah Alam ini akan menjadi pilihan utama rakyat untuk perjalanan harian, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepatkan masa perjalanan serta menyokong agenda negara ke arah mobiliti rendah karbon,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast