Calon BN N30 Paloh, Lee Ting Han Yang juga penyandang kerusi

KLUANG – Para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Lee Ting Han menggesa pengundi membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian, idea serta hala tuju yang mampu menjamin masa depan Joho dan bukan sekadar dipengaruhi retorik politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Paloh, Lee Ting Han yang mempertahankan kerusi tersebut selepas memenanginya pada PRN Johor 2022 berkata, pilihan raya merupakan medan terbaik untuk setiap parti menawarkan penyelesaian kepada isu rakyat serta membentangkan perancangan bagi memacu pembangunan negeri.

“Pilihan raya bukan sekadar pertandingan antara calon atau parti politik. Ia adalah medan pertembungan idea, berkongsi cadangan dan menawarkan penyelesaian terbaik demi masa depan kampung halaman kita.

“Bagaimana kita mahu menjadikan DUN Paloh lebih baik dan bagaimana kita mahu memastikan Johor terus maju, berjaya serta menjadi negeri yang membanggakan setiap bangsa Johor, itulah yang perlu menjadi keutamaan,” katanya menerusi dalam laman sosial beliau.

Jelasnya, rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian dan mahukan sebuah kerajaan yang stabil, mempunyai hala tuju yang jelas serta mampu melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut Ting Han, kempen PRN Johor kali ini juga perlu berlangsung dalam suasana matang, berhemah dan saling menghormati, dengan tumpuan diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat berbanding memainkan sentimen atau politik kebencian.

“Sepanjang kempen ini, kami akan terus membawa politik yang beradab, matang dan berteraskan khidmat kepada rakyat.

“Kami mahu bertemu seramai mungkin pengundi untuk mendengar sendiri pandangan serta harapan mereka terhadap masa depan Paloh dan Johor,” ujarnya lagi.

Ting Han bersama Ahli Parlimen beliau iaitu Semborong, Datuk Hishamuddin Hashim dan bakal calon Dun Kahang, Rugendran Vellayan.

Ting Han berkata, BN memohon mandat rakyat untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran diterajui Menteri Besar sementara, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkan berjaya membawa pelbagai perubahan positif kepada Johor sepanjang penggal lalu.

Katanya, kestabilan politik yang dinikmati negeri itu telah membolehkan Johor terus berkembang sebagai destinasi pelaburan utama negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Sebagai Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Ting Han berkata, usaha menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh keyakinan pelabur serta menyediakan peluang pekerjaan bergaji lebih baik perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai anak Johor dapat membina kerjaya di negeri sendiri.

Beliau berkata, semua usaha itu memerlukan sebuah kerajaan negeri yang stabil, berpengalaman dan mempunyai dasar pembangunan yang konsisten supaya momentum pertumbuhan ekonomi dapat diteruskan.

“Saya percaya rakyat mahukan wakil rakyat yang sentiasa bersama mereka, mendengar masalah mereka dan bekerja mencari penyelesaian, bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya.

“Setiap sokongan, doa dan kepercayaan yang diberikan kepada saya merupakan satu amanah besar. Saya akan terus bekerja bersungguh-sungguh demi Paloh dan masa depan Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast