MUAR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan semua pemimpin parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya mengelakkan kempen yang menyentuh isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja.
Beliau berkata, kempen pilihan raya seharusnya tertumpu kepada persaingan antara parti politik serta tokoh politik tanpa memainkan sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Pandangan saya tak payah sentuh pun (isu 3R) seperti yang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) ada sebut, biar parti lawan parti.
“Kita fokus kepada parti-parti politik serta tokoh-tokoh politik yang menjadi fokus dan saya nasihatkan ini untuk semua (parti),” katanya.
Beliau yang Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemimpin parti bertanding pada PRN Johor yang menyentuh isu 3R secara kiasan sebagai modal kempen politik mereka.
Terdahulu Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menghadiri Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai Edisi Piala Dunia di Parit Jawa, di sini bersama calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Soraya Badaruddin.
Dalam perkembangan lain ketika ditanya keyakinan Barisan Nasional (BN) menyasarkan memperoleh kemenangan yang lebih berbanding 40 kerusi pada PRN 2022, Fahmi berkata PH juga akan bekerja kerja keras untuk ke arah itu.
“Bagi PH kita akan usaha yang terbaik bermula dari 12 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022 dan kita sudah pasti berharap serta akan bekerja keras untuk memastikan jumlah itu dapat ditingkatkan.
“Bagi PKR kita mula dengan satu kerusi di DUN Bukit Batu dan masih awal kerana tempoh dua minggu kempen ini masih panjang. InsyaAllah kita rangkakan beberapa idea kita lontarkan,”
Menurut beliau, PH juga akan melancarkan manifesto PRN Johor dalam masa beberapa hari lagi bagi memperincikan tawaran kepada rakyat negeri ini.
“Manifesto Pakatan Harapan bagi Johor akan dibentangkan dalam beberapa hari lagi.
“Dari situ kita akan tunjukkan bahawa Pakatan Harapan serius untuk berusaha membentuk kerajaan negeri dan memenangi lebih banyak kerusi, khususnya kerusi yang ditandingi,” katanya. – MalaysiaGazette
















