JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan bahan kempen calon sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, politik matang seharusnya dipamerkan oleh semua pihak tanpa mengira parti, bukannya menggunakan taktik vandalisme bagi menjatuhkan lawan.

“Saya dimaklumkan ada beberapa insiden bahan kempen dan poster calon dirosakkan.

“Bagi saya, tidak kira calon daripada parti mana sekali pun, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu dikecam bersama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja ke Pusat Media Kementerian Komunikasi di Hotel Seri Malaysia, di sini, petang tadi.

Menurut beliau, budaya politik yang sihat perlu dipelihara supaya persaingan berlaku menerusi idea dan dasar.

“Tidak sepatutnya tindakan merosakkan harta benda dilakukan untuk menjatuhkan parti lawan,” katanya.

Sementara itu, katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memantau secara rapi kandungan media sosial sepanjang kempen PRN Johor bagi memastikan tiada pihak menyebarkan bahan berunsur provokasi yang boleh menggugat keharmonian.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat kandungan yang menyentuh isu perkauman, agama atau menghasut kebencian.

“Kita mahu kempen berjalan secara matang. Semua pemimpin politik perlu mengelakkan isu yang boleh memecahbelahkan rakyat.

“Kalau ada kandungan yang terlalu provokatif dan melanggar undang-undang, MCMC bersama pihak polis akan mengambil tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast