Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR – Seramai 331 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pertaruhan tanpa lesen dan judi dalam talian sempena kejohanan Piala Dunia Fifa 2026 dengan nilai pertaruhan dirampas berjumlah RM2.62 juta.

Kesemua tangkapan dilakukan menerusi Op Soga XI yang bermula 11 Jun hingga 19 Julai itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya telah melakukan sebanyak 293 dengan 331 suspek ditahan membabitkan seramai 312 lelaki dan 19 wanita disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 234 merupakan warga tempatan manakala 97 lagi warga asing. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM145,005 selain mengesan nilai pertaruhan keseluruhan sebanyak RM2,625,529.

“Dalam operasi sama, kita telah mengesan sebanyak 185 laman sesawang termasuk laman web, platform, aplikasi dan media sosial yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan kegiatan perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kumar, susulan itu tindakan menyekat laman web dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan SKMM.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 serta Akta Imigresen 1959/63, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast