Danish Hairudin

JOHOR BHARU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi wajar menjelaskan terlebih dahulu rekod pelaksanaan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 sebelum mempertikaikan manifesto yang bakal diumumkan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan Onn Hafiz yang mempersoalkan PH kerana masih belum melancarkan manifesto PRN Johor disifatkan sebagai cubaan mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan menunaikan sebahagian besar janji pilihan raya BN.

Menurutnya, selepas lebih empat tahun mentadbir Johor, rakyat berhak mengetahui sejauh mana komitmen BN dalam melaksanakan janji-janji yang pernah ditawarkan kepada Bangsa Johor.

“Onn Hafiz sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu mengapa begitu banyak manifesto BN 2022 masih belum dilaksanakan sebelum mempertikaikan manifesto pihak lain.

“Rakyat Johor hari ini tidak lagi menilai siapa paling awal melancarkan manifesto, tetapi siapa yang benar-benar menunaikan janji yang pernah dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danish mendakwa sekurang-kurangnya 11 manifesto utama BN masih gagal direalisasikan.

Ia termasuk pembangunan Batu Pahat Barter Trade Port, Pasar Borong Digital Johor serta skim pinjaman tanpa faedah RM100 juta menerusi Johor Niaga yang menurutnya sekadar tinggal pengumuman.

Beliau turut mendakwa beberapa inisiatif kebajikan yang dijanjikan kepada rakyat tidak dilaksanakan sepenuhnya, termasuk bantuan RM150 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000 yang didakwanya tidak pernah disalurkan seperti dijanjikan.

Katanya, bantuan RM500 kepada mahasiswa Johor daripada keluarga B40 pula akhirnya hanya diberikan sebanyak RM200, manakala janji menaikkan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM500 juga didakwa tidak menjadi kenyataan.

Selain itu, Danish berkata, manifesto BN turut menjanjikan peluasan Klinik Wakaf An-Nur ke setiap daerah serta penubuhan Institut Wanita Johor, namun kedua-dua inisiatif itu didakwanya masih belum direalisasikan sehingga kini.

Beliau turut membangkitkan janji menaikkan bantuan kepada pasangan muda yang berkahwin kali pertama kepada RM1,000 serta kenaikan elaun imam, bilal, noja dan siak yang menurutnya masih belum ditunaikan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Danish turut mempersoalkan beberapa kandungan manifesto BN yang disifatkannya sebagai bukan idea baharu termasuk janji menjadikan Muar sebagai Hab Perabot Negara sedangkan bandar itu telah lama dikenali sebagai pusat industri perabot negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PH tidak pernah gentar untuk membentangkan agenda kepada rakyat dan akan mengumumkan 10 tawaran utama bagi PRN Johor yang disifatkan lebih berpaksikan keperluan rakyat, realiti ekonomi semasa serta kemampuan kewangan kerajaan negeri.

“Rakyat Johor kini semakin matang. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan manifesto yang indah atau pelancarannya yang gah. Apa yang dinilai ialah rekod pentadbiran, prestasi dan keberanian pemimpin menunaikan amanah.

“Justeru, tunailah dahulu manifesto BN 2022 sebelum datang menawarkan manifesto baharu kepada rakyat Johor,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast