JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah tidak mengetahui mengenai dakwaan kepimpinan BN Johor kononnya telah mengadakan mesyuarat tergempar susulan ramalan hanya mampu memenangi sekitar 30 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Penyandang kerusi DUN Larkin itu tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan percaya hanya pucuk kepimpinan tertinggi parti mengetahui mengenainya.
Dakwaan mengenai mesyuarat itu tercetus susulan spekulasi BN sedang menilai semula strategi kempen selepas kajian dalaman didakwa menunjukkan gabungan itu hanya berpotensi memenangi sekitar 30 kerusi DUN.
“Saya tak dapat maklum mengenai perkara itu. Mungkin hanya pucuk kepimpinan tertinggi yang tahu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Pasar Malam Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Mengulas kempen PRN Johor semakin hangat, Hairi berkata, pelbagai isu yang dimainkan ketika ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati segelintir pihak dalam parti lawan sendiri.
“Saya lihat ia datang daripada segelintir yang kecewa dan memainkan pelbagai isu, mungkin daripada parti mereka sendiri.
“Saya tidak perlu menyebut atau memberi komen terhadap pandangan mereka kerana saya percaya ia tercetus daripada ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan yang ada. Mungkin juga kerana perpecahan yang berlaku dalam parti mereka sendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, Hairi menegaskan tidak pernah memandang mudah persaingan di DUN Larkin walaupun beliau mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.
“Saya tidak sesekali menganggap pertandingan di DUN Larkin ini mudah. Bagi saya, tahap persaingan pada ketika ini adalah sama rata,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat terus memberi mandat kepada BN untuk mentadbir Johor demi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan dasar pembangunan negeri.
“Insya-Allah saya doakan BN dapat kekal sebagai kerajaan negeri. Apa yang kita mahukan ialah kestabilan politik dan politik yang matang.
“Rakyat boleh menilai parti mana yang mampu membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil melalui dasar-dasar yang dibawa. Kita bertanding di peringkat negeri, bukannya di peringkat kebangsaan,” katanya.
Hairi berkata, sebagai penyandang, beliau akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan kira-kira 76,000 pengundi di DUN Larkin.
“Keberadaan saya memang di Larkin. Saya sentiasa ada bersama rakyat di kawasan ini dan akan terus berkhidmat kepada mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















