Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi

KLUANG – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi menyifatkan tuduhan yang tular di media sosial berkaitan parti itu menjadi dalang insiden kerosakan dan pembakaran bahan kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, tuduhan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan tidak seharusnya dakwaan sedemikian timbul selagi siasatan pihak berkuasa belum dimuktamadkan.

“Sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang, setiap tuduhan yang dilemparkan wajib disokong dengan bukti sahih, bukannya bersandarkan persepsi atau sentimen politik semata-mata.

“Sepanjang penyertaan BN dalam pelbagai pilihan raya sebelum ini, budaya perjuangan kami tidak pernah diasaskan kepada perbuatan merosakkan harta benda, membakar bendera, mencabut poster atau melakukan vandalisme terhadap bahan kempen mana-mana parti.

“Kita mungkin berbeza fahaman politik, tetapi kita tetap menghormati hak setiap parti untuk berkempen dalam suasana yang aman dan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Mohamad Aliff, BN sentiasa berpijak di atas prinsip bahawa kemenangan dalam sesuatu pilihan raya tidak akan hadir melalui jalan provokasi atau sabotaj.

“Kekuatan BN jelas terarah kepada gerak kerja jentera yang ampuh, kesungguhan berkhidmat, kebijaksanaan menyampaikan dasar serta keyakinan rakyat terhadap rekod pencapaian yang ditawarkan.

“Saya menggesa semua pihak agar menghentikan segera tuduhan melulu yang hanya bertujuan mencetuskan api kebencian serta mengelirukan minda rakyat.

“Berilah ruang kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan bebas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya jika terdapat mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan, biarlah tindakan diambil mengikut lunas undang-undang tanpa mengira latar belakang politik.

“Angkatlah martabat demokrasi dengan bersaing secara sihat melalui hujah, idea serta tawaran terbaik kepada rakyat berbanding bersandar kepada fitnah dan naratif yang tersasar daripada fakta.

“BN akan terus konsisten mengamalkan pendekatan politik yang matang, berhemah, dan bertanggungjawab demi menjaga integriti serta kepercayaan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa billboard yang memaparkan poster calon Pakatan Harapan bagi kerusi DUN N35 Pasir Raja dan N28 DUN Mengkibol dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warganet menyatakan perbuatan parti lawan. Untuk tekod, Mengkibol menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan PH manakala di Pasir Raja tiga penjuru, BN, PH dan Perikatan Nasional. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast