KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan pelantikan legenda berbasikal negara, M Kumaresan sebagai Pengerusi Panel Pakar Program Pembangunan Sukan Olimpik bagi sukan berbasikal yang dikhususkan untuk membantu pembangunan bakat di peringkat negeri bermula tahun ini.
MASN berkata, penubuhan panel itu bertujuan memperkukuhkan ekosistem pembangunan bakat sukan berbasikal negeri melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, berasaskan prestasi dan disokong oleh kepakaran pelbagai disiplin.
Kumaresan merupakan pelumba Malaysia pertama berjaya melayakkan diri ke acara akhir perlumbaan mata di Sukan Olimpik Barcelona 1992.
Selain beliau, panel itu menghimpunkan individu dengan pengalaman luas seperti bekas atlet berbasikal yang beraksi di Sukan Olimpik London 2012, Amir Mustafa Rusli yang kini berkhidmat sebagai jurulatih kebangsaan acara endurance serta jurulatih acara pecut, Harnizam Basri.
Turut dilantik ialah bekas pelumba tempatan dengan rekod tiga kemenangan peringkat di perlumbaan Le Tour de Langkawi, Mohd Harrif Saleh selain wakli Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) iaitu naib presidennya, Firdaus Arshad, wakil Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad serta Abdul Hadi Abdul Rahman, wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Antara tugas utama panel berkenaan ialah memastikan pembangunan atlet dilaksanakan secara sistematik bermula daripada proses pencarian bakat sehingga ke peringkat prestasi tinggi, merancang hala tuju program pembangunan, memantau prestasi atlet dan jurulatih, membantu proses pemilihan atlet, jurulatih dan pusat latihan serta memberi input berkaitan sains sukan dan pembangunan prestasi.
Menurut MSN, Program Pembangunan Sukan Olimpik bagi sukan Berbasikal tahun ini akan memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama iaitu penambahbaikan Program Pencarian Bakat dan pelaksanaan Kem Bakat dan Kem Spesifik mengikut disiplin acara untuk memperkasakan kemahiran teknikal, fizikal serta taktikal atlet.
“Inisiatif ketiga ialah pendedahan latihan dan pertandingan luar negara bagi mendedahkan atlet kepada persekitaran latihan berprestasi tinggi, mempelajari amalan terbaik antarabangsa demi meningkatkan tahap daya saing mereka manakala inisiatif keempat ialah untuk mempertingkat kepakaran jurulatih-jurulatih negeri.
“Semua itu dijuruskan kepada sasaran mempercepatkan pembangunan atlet muda ke tahap prestasi tinggi dan melahirkan barisan pelapis berkualiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” kata MSN dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menyifatkan gabungan kepakaran dalam Panel Pakar ini akan mampu memperkukuhkan ekosistem pembangunan sedia ada dan semua input akan menjadi asas penting untuk melahirkan lebih ramai atlet berpotensi tinggi yang berupaya bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
“MSN yakin pelantikan Panel Pakar Berbasikal 2026 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat berbasikal negeri yang lebih mampan dan progresif, sekali gus menyokong apirasi negara untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia, Komanwel, Dunia dan Olimpik,” katanya. – MalaysiaGazette
















