Salehuddin Saidin

 

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang membabitkan pertikaian antara waris remaja perempuan yang meninggal dengan pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam.

Bagi tujuan ini, MAIS telah mengarahkan pertemuan segera dijalankan oleh wakilnya bersama waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kg Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mencapai suatu penyelesaian terbaik untuk semua pihak yang terlibat.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media oleh Pengarah JAIS bertarikh 27 Jun 2026 hasil siasatan awal berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam berhubung insiden yang berkaitan.

Malah, MAIS juga mengambil maklum pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah, waris yang terlibat dan BKS telah membuat laporan polis berhubung insiden ini.

Justeru, MAIS menasihatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis membuat siasatan yang telus dan adil berhubung kes ini.

“MAIS memberi jaminan bahawa semua dapatan hasil siasatan pihak polis, sama ada dari aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat akan diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

“Hal iniadalah untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang berlaku kepada waris di saat mereka kehilangan insan tersayang.

Salehuddin menambah, MAIS juga akan menilai pengurusan jenazah orang Islam yang sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid dan mengenal pasti jika terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diambil.

Hal ini adalah untuk memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan hukum syarak.

Dalam pada itu, MAIS menasihatkan masyarakat Islam untuk terus memperkuatkan ukhuwah sesama Islam dan tidak menjadikan perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara sebagai medan perpecahan dan kebencian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast