Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan ikat jamin RM10,000 terhadap pembantu rumah warga Indonesia yang sebelum ini tular dicederakan majikan dan turut didakwa mendedahkan anak majikannya kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.

Hakim Madihah Zainol membenarkan tertuduh, Yulia Arnida, 34, diikat jamin dengan seorang penjamin warga tempatan selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan yang mewakili wanita itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh mematuhi tiga syarat tambahan jamin iaitu dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Mohd Daud Ismail yang dilantik Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) bagi mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin selepas pihak pembelaan berjaya menyerahkan salinan surat perjalanan sementara yang dikeluarkan KJRI atas nama tertuduh.

Beliau turut memohon jaminan dalam jumlah yang rendah memandangkan kes dihadapi tertuduh tidak seserius dua lagi kes Akta Kanak-kanak 2001 yang dibuat ke atas ibu bapa kanak-kanak bernama Zayn Rayyan Abdul Matiin dan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membabitkan kanak-kanak sindrom down, Bella.

“Jika dilihat kes Zayn Rayyan, mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 kepada ibu bapa mangsa sedangkan kes itu menyebabkan kematian manakala Siti Bainun dibenarkan jaminan RM12,000, itu membabitkan kecederaan lebih serius dengan kesan lecuran air panas.

“Dalam kes ini, tawaran pendakwaan sebanyak RM20,000 agak tinggi. Anak guam kami hanya bekerja sebagai pembantu rumah. Laporan polis terhadapnya juga dibuat pada beberapa minggu lalu iaitu enam bulan daripada kejadian dalam pertuduhan iaitu 21 Disember 2025.

“Anak guam kami akan mematuhi segala syarat tambahan dan KJRI juga sudah bersedia mengawasinya yang akan ditempatkan di tempat perlindungan yang dipantau KJRI,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin dan turut serta dalam barisan pembelaan ialah peguam Jason Tan Ka Yan dan Hang Lee Ying.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Ogos nanti bagi serahan dokumen.

Pada 22 Jun lalu, pembantu rumah itu yang mempunyai pemeliharaan dan jagaan sementara ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun ketika kejadian itu mengaku tidak bersalah mendedahkan mangsa kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor di sini pada waktu petang, 21 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding minggu lalu, mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh selepas peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh berada di tangan pihak ketiga.

Tertuduh kemudian ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara buat tertuduh daripada kerajaan Indonesia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast