Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan dua yang lain perlu membayar balik wang kutipan tiket penerbangan jemaah umrah sebanyak RM492,480 kepada sebuah syarikat pelancongan.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ketiga-tiganya untuk menggantung pelaksanaan pembayaran balik sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan Ketua Umno Bahagian Kangar itu serta Sekh Fazzli Sekh Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff membayar kos RM5,000.

Mereka telah memfailkan rayuan akhir ke Mahkamah Rayuan pada 8 Januari lalu.

Hakim Leong Wai Hong berpuas hati, ketiga-tiganya selaku defendan gagal membuktikan wujudnya keadaan khas untuk mengggantung pelaksanaan penghakiman berbentuk wang.

“Bagi kes-kes berkaitan penghakiman berbentuk wang, hakikat bahawa sesuatu rayuan telah difailkan bukanlah suatu keadaan khas yang membolehkan pelaksanaannya digantung.

“Keputusan mahkamah yang lebih tinggi mengikat mahkamah ini,” ujarnya.

Pada prosiding hari ini, Fathul Bari dan dua yang lain diwakili peguam Mohd. Shahril Madisa manakala KRS Travel Sdn. Bhd. selaku plaintif diwakili Teoh Bee Shan.

Pada 9 Disember tahun lalu, hakim yang sama menolak rayuan Fathul Bari dan kedua-dua pengarah tersebut untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membayar balik wang kutipan tiket penerbangan jemaah umrah sebanyak RM492,480 kepada syarikat pelancongan.

Ketiga-tiganya ketika itu merupakan pengarah Rehla Travel Services Sdn. Bhd. (Rehla) yang disaman syarikat pelancongan, KRS Travel Sdn. Bhd. bagi menuntut pembayaran balik wang kutipan tiket penerbangan sebanyak RM492,480.

Hakim Wai Hong dalam keputusannya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen bahawa mereka telah melakukan penipuan apabila enggan memulangkan kira-kira RM500,000 yang dikutip daripada jemaah umrah.

Dalam keputusannya, beliau bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Yasmin Abdul Razak adalah bersandarkan fakta selepas mendengar keterangan semua saksi.

Hakim juga mengambil maklum bahawa trio tersebut kemudian memohon untuk membatalkan nama Rehla daripada daftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Syarikat itu tidak lagi beroperasi.

Permohonan itu dibuat di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat untuk menghalang KRS Travel daripada meneruskan tindakan undang-undang terhadap Rehla. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast