Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh laporan polis diterima berhubung kontroversi pengurusan jenazah seorang remaja perempuan di Tanah Perkubuan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, semua laporan berkaitan insiden yang berlaku pada 25 Jun lalu masih dalam siasatan.

“Sehingga jam 5 petang pada Ahad, kita telah menerima tujuh laporan polis berkaitan kes itu. Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Ketua Balai Polis Ampang di talian 03-4289 722,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, bapa Allahyarham Siti Adawiyah Mohd Hasrul Ghazali tampil menafikan semua dakwaan termasuk tuduhan menggunakan permit palsu, memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam serta dakwaan dia meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya.

Mohd Mohd Hasrul berkata, sejak dimaklumkan mengenai kematian anaknya akibat komplikasi usus bocor, dia telah berurusan dengan Badan Kebajikan Silaturahim (BKS) bagi mengendalikan keseluruhan proses pengurusan jenazah dan bukannya pihak masjid seperti yang didakwa.

Dia turut mendakwa tidak pernah dihubungi oleh pihak masjid mahupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan penjelasan sebelum kenyataan rasmi berhubung isu tersebut dikeluarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast