Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026. (GAMBAR FAIL)

SHAH ALAM – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersedia menambah tren di Laluan LRT Shah Alam sekiranya jumlah penumpang meningkat selepas orang ramai mula menjadikan laluan baharu itu sebagai pilihan pengangkutan harian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, pihaknya akan memantau corak penggunaan serta faktor beban penumpang sebelum membuat keputusan untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan.

Menurut beliau, operasi pada hari pertama menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan dengan ramai pengguna, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, mengambil peluang mencuba laluan berkenaan.

“Kita akan melihat dahulu bagaimana penggunaan laluan ini, sekiranya perlu penambahan tren, Pusat Kawalan Operasi (OCC) akan memantau keadaan di platform dan stesen sebelum kita menambah tren bagi mengurangkan kekerapan menunggu,” katanya dalam sebuah tinjauan operasi hari pertama Laluan LRT Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini laluan berkenaan beroperasi menggunakan 22 set tren daripada keseluruhan 29 tren yang tersedia.

Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026.

Amir berkata, kerajaan juga telah meluluskan penambahan tujuh set tren baharu yang dijangka diterima menjelang 2028 bagi memenuhi pertumbuhan jumlah penumpang pada masa hadapan.

“Penambahan itu bergantung kepada peningkatan jumlah penumpang setiap tahun. Kita akan membuat penilaian semula berdasarkan faktor beban dan penggunaan sebenar laluan ini,” katanya.

Mengulas mengenai aspek keselamatan, beliau berkata, Prasarana akan memperluaskan pemasangan penghadang keselamatan di stesen LRT Shah Alam selepas pelaksanaan projek sama di Laluan Kelana Jaya dan Ampang.

Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026.

Katanya, ketika ini projek perintis sedang dilaksanakan di dua stesen sebelum diperluaskan kepada 10 stesen di setiap laluan menjelang hujung tahun ini, manakala baki stesen akan disiapkan tahun depan.

“Selepas itu kita akan melihat bila pelaksanaan penghadang keselamatan ini boleh diperluaskan ke Laluan Shah Alam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, terdapat salah faham dalam kalangan pengguna berhubung tempoh perjalanan tren.

Menurutnya, masa perjalanan antara satu stesen ke stesen lain hanyalah sekitar tiga hingga empat minit, manakala tempoh lapan minit yang dimaklumkan sebelum ini merujuk kepada kekerapan ketibaan tren di stesen.

“Kita sedang menjalankan kajian bersama pihak berkaitan bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu secara keseluruhan selepas semua penilaian keselamatan selesai dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast