Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto MALAYSIAGAZETTE, 23 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,881 Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun dalam usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan program itu turut meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau berkata, di negeri Perak sahaja sebanyak 1,304 siri PJRM telah dianjurkan dalam tempoh berkenaan, termasuk 43 siri di Parlimen Kuala Kangsar membabitkan 21 siri di DUN Bukit Chandan dan 22 siri di DUN Manong.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan PJRM telah meliputi semua kawasan DUN di seluruh negara dan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses barangan keperluan pada harga lebih berpatutan,” katanya dalam jawapan sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) minta KPDN menyatakan jumlah pelaksanaan terkini Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dan sejauh manakah kesediaan Kementerian untuk meningkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Menurut Armizan lagi, Kerajaan Madani komited untuk meningkatkan lagi kekerapan penganjuran PJRM berdasarkan maklum balas positif masyarakat serta keperluan semasa.

Katanya, jumlah pelaksanaan program itu menunjukkan peningkatan setiap tahun, iaitu 6,870 siri pada 2023, meningkat kepada 12,419 siri pada 2024 dan 25,708 siri pada 2025.

“Bagi tahun 2026, sasaran awal adalah 23,040 siri PJRM, namun ia telah ditingkatkan kepada 30,000 siri selepas pengumuman Perdana Menteri pada Mei 2026 sebagai langkah intervensi menghadapi tekanan kos dan bekalan,” katanya.

Kementerian itu turut memaklumkan pelaksanaan PJRM diperkukuh melalui lima pendekatan utama termasuk penginstitusian program sebagai agenda tetap kerajaan, penetapan sasaran mengikut DUN dan zon, serta penglibatan 2,695 rakan strategik peruncitan setakat 29 Jun 2026.

Selain itu, PJRM turut diperluas melalui pelbagai kaedah pelaksanaan termasuk dalam premis, luar premis, bergerak serta program bertema seperti musim perayaan, hari gaji dan musim kembali ke sekolah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast