Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Selepas menunggu hampir lima tahun, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengetahui hari ini sama ada beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Muar apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan rayuan pendakwaaan terhadap pembebasannya.

Sama ada keputusan sebulat suara atau majoriti 2-1, penghakiman mahkamah tertinggi negara akan menentukan hala tuju karier politik Ahli Parlimen Muar itu.

Menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon pilihan raya sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah peruntukan sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Kehilangan kelayakan ini boleh dibatalkan atau tidak terpakai jika Ahli Parlimen tersebut menerima pengampunan penuh (pengampunan diraja) daripada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan/Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

Keputusan rayuan dijadual disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Panel tersebut mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 11 dan 12 Disember tahun lalu.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.

Pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mengemukakan rayuan bagi mengetepikannya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.

Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast