PALOH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Dr Ruban Arumugam mendakwa kejadian beberapa bendera gabungan itu dibakar di dua lokasi berasingan di kawasan berkenaan merupakan cubaan untuk menakutkan pengundi dan penyokong sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, kejadian pertama dikesan petang semalam selepas beliau dimaklumkan oleh anggota pasukan kempennya bahawa dua bendera PH di Sentral Paloh dibakar sehingga hanya tinggal batang kayu, manakala dua lagi mengalami kesan terbakar di bahagian tepi.
Katanya, beliau kemudian bergegas ke lokasi bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Kasthuri Patto, untuk melihat sendiri keadaan sebelum mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah berhampiran.
“Kami berharap rakaman CCTV itu dapat membantu pihak polis mengenal pasti individu yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruban berkata, seorang anggota jentera PH yang juga Pegawai Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah membuat laporan di Balai Polis Paloh berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, beberapa jam kemudian polis memaklumkan satu lagi kejadian membabitkan pembakaran bendera PH turut berlaku di Chamek yang juga terletak dalam DUN Paloh.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku ketika kempen PRN Johor baru memasuki hari ketiga dan tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
“Saya sentiasa mengekalkan kempen yang bersih dan menghormati lawan politik. Perbezaan pendapat tidak seharusnya diterjemahkan melalui vandalisme, ugutan atau politik kebencian,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua penyokong serta jentera PH supaya bertenang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang walau apa juga provokasi yang berlaku.
Pada masa sama, Ruban menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab, selain meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan kempen PRN Johor berlangsung secara aman dan teratur. – alaysiaGazette
















