KUALA LUMPUR – Program Hari Peneroka Felda yang dijadulkan pada 20 dan 21 Jun lalu tidak pernah dibatalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya larangan yang dikeluarkan kerajaan hanya membabitkan penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan kempen pilihan raya.
Beliau berkata, arahan itu dibuat bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pilihan raya dan tidak bermaksud menghalang mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri daripada mengadakan program bersama peneroka.
Anwar berkata, dakwaan kononnya program membabitkan peneroka Felda dibatalkan perlu diperjelaskan kerana perkara sebenar adalah berkaitan penggunaan kemudahan atau jentera kerajaan ketika tempoh kempen.
“Awal-awal kata dibatalkan. Yang batalkan siapa? Di mana dia batalkan?
“Arahan saya, tidak boleh ada acara menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya. Itu arahan kepada semua,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung pembatalan program Felda di Johor, baru-baru ini.
Menurut Anwar, program Hari Peneroka Felda tidak mempunyai sebarang sekatan dan kerajaan negeri juga boleh mengadakan program masing-masing, termasuk ke kawasan Felda.
“Kerajaan negeri nak pergi bagi geran tanah itu, hal dia. Walaupun dia tahu tentang peraturan pilihan raya, bukan larangan.
“Tapi untuk guna jentera Felda untuk berkempen, tidak boleh,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, kerajaan terus memberi perhatian terhadap kebajikan peneroka Felda termasuk usaha memulihkan semula institusi berkenaan.
Katanya, kerajaan sebelum ini menyalurkan bayaran ganti sebanyak RM1 bilion kepada peneroka Felda selain memperluas kemudahan pembangunan di kawasan Felda.
“Kerajaan beri perhatian, banyak perkara baharu kita beri, antaranya kawasan Felda, pusat dialisis, sekolah dan kemudahan lain supaya pembangunan desa tidak lagi terpinggir,” tambah beliau.
Beliau berkata, kerajaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengambil pendekatan memperkukuh pembangunan kawasan Felda melalui penyediaan kemudahan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Sehubungan itu, Anwar meminta semua pihak tidak menimbulkan kekeliruan berhubung isu tersebut kerana kerajaan hanya memastikan peraturan pilihan raya dipatuhi.
Katanya, tidak ada halangan untuk mana-mana pemimpin memasuki kawasan Felda atau menjalankan program sendiri, namun penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan kempen adalah perkara yang tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette
















