BERLIN – Enam individu terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat kebajikan belia di utara Jerman, yang dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak.
Suspek utama telah ditahan pihak berkuasa.
Polis memaklumkan lima mangsa iaitu empat wanita dan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian di bandar Stade, manakala seorang lagi mangsa dewasa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Kesemua mangsa yang terkorban merupakan kakitangan pusat kebajikan berkenaan atau organisasi yang berkaitan dengannya.
Menteri Dalam Negeri negeri Lower Saxony, Daniela Behrens berkata polis sedang menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti motif serta kronologi sebenar kejadian.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai jenayah yang amat kejam dan dilakukan dengan niat membunuh, yang dipercayai berkait dengan pertikaian hak penjagaan anak.
Menurut polis, beberapa individu lain turut cedera, termasuk ada yang mengalami kecederaan parah, namun jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka belum didedahkan.
Kejadian tembakan berlaku di sebuah premis di Jalan Dankersstrasse, selatan pusat bandar Stade.
Pusat berkenaan menyediakan penempatan sementara untuk wanita hamil serta ibu muda bersama anak-anak mereka.
Selain suspek utama yang ditahan, dua lagi individu dikenakan tindakan polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu, namun pihak berkuasa tidak memperincikan bentuk penglibatan mereka.
Rakaman video selepas kejadian menunjukkan kehadiran anggota polis dalam jumlah besar, bersama pasukan kecemasan dan beberapa ambulans di kawasan perumahan berkenaan.
Jerman mempunyai undang-undang pemilikan senjata api yang lebih ketat berbanding Amerika Syarikat, dan kejadian tembakan rambang jarang berlaku, namun pernah dilaporkan sebelum ini.
Seorang penduduk yang tinggal bertentangan lokasi kejadian, Vitali Mertens, berkata beliau terdengar beberapa das tembakan sebelum seluruh kawasan itu segera dikepung pihak polis.
Bandar Stade mempunyai kira-kira 50,000 penduduk dan terletak sekitar 40 kilometer dari Hamburg. – Agensi
















