Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd Puad mencuba sendiri memasak mee goreng ketika menyantuni pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad mempersoalkan kesungguhan Parti Bersama Malaysia (Bersama) untuk mentadbir negeri apabila hanya bertanding di 15 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, sesebuah parti yang benar-benar bercita-cita menjadi kerajaan sepatutnya menawarkan calon di lebih banyak kerusi bagi membolehkan dasar dan manifesto dilaksanakan.

“Kalau mereka mahu melaksanakan pelbagai agenda rakyat dan dasar, mereka sepatutnya bertanding di semua 56 kerusi.

“Untuk apa rakyat mengundi parti yang hanya bertanding 15 kerusi? Ini menunjukkan mereka tidak serius untuk menjadi kerajaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu Faezuddin menyantuni serta mengedarkan risalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas.

Faezuddin juga menyifatkan undi kepada parti yang bertanding dalam jumlah kerusi terhad tidak akan memberi impak kepada pembentukan kerajaan negeri, apatah lagi untuk merealisasikan janji kepada rakyat.

“Kalau hanya menang 15 kerusi dan tidak mahu bergabung dengan sesiapa, ia tidak menjamin mereka boleh melaksanakan apa-apa untuk rakyat.

“Sebab itu saya berpendapat undi kepada mereka adalah sia-sia. Lebih baik rakyat memberikan sokongan kepada PH yang mempunyai rekod pentadbiran dan kemampuan membentuk kerajaan,” katanya.

Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd Puad menyantuni pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru hari ini.

Sementara itu, Faezuddin berkata, PH sendiri komited untuk memisahkan urusan kerajaan daripada aktiviti politik dengan menjalankan kempen menggunakan kekuatan parti.

“Setakat ini saya tidak nampak mana-mana parti menggunakan aset kerajaan.

“Malah kita sendiri tidak menggunakan aset kerajaan walaupun berada dalam kerajaan. Bagi saya kempen biarlah menggunakan kekuatan dan keupayaan parti sendiri.

“Itu merupakan ikrar PH untuk menawarkan politik bersih tanpa mencampuradukkan agensi kerajaan dengan aktiviti politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast